Bayi yang baru lahir sangat comel dan menjdai kegemaran para ibu kerana pipinya yang gebu dan baunya yang membuat para ibu bapa tak lena tidur dan menjadi lebih sayang kepada bayi. Kehadiran bayi adalah sebuah sinar dan menjadikan ibu bapa lebih gembira dan bertanggungjawab.
Kelahiran bayi terkadang menjadi bualan yang mana, ada ibu bapa yang membahasakan tentang kecomelan, warna mata, bentuk hidung, bibir dan mata dan yang sering manjadi bualan adalah tentang warna kulit anak.
Warna kulit bayi, sama ada cerah atau gelap, ditentukan oleh gennya pada saat dia disenyawakan. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memutihkan atau menggelapkan kulit bayi sebelum atau selepas lahir kerana ianya terjadi secara azali.
Apa yang boleh berubah untuk sementara atau yang mempengaruhi warna kulit, tona dan kompleksi mukanya ialah isu kesihatan dan alam sekitar. Apabila isu-isu tersebut telah selesai, warna kulit bayi anda kembali kepada asal.
-Kulit bayi mungkin nampak merah atau kemerahan kerana suhu yang tinggi.
-Dia mungkin nampak pucat kebiruan sedikit kerana sejuk terutamanya jika tangan dan kakinya terdedah.
-Sesetengah bayi bertukar jadi biru atau ungu jika terlalu kuat menangis. Walau bagaimanapun, jika warna kebiruan ini tidak hilang selepas berhenti menangis, atau jika bayi anda berwarna kebiruan di seluruh badannya dan tidak hilang selepas beberapa hari, ini mungkin tanda bahawa ada masalah pernafasan atau peredaran. Bawa bayi ke hospital dan maklumkan kepada doktor dengan kadar segera.
-Sesetengah bayi juga nampak lebih gelap beberapa hari selepas dilahirkan kerana mereka kehilangan air serta berat pada mulanya, dan ini boleh membuat kulit mereka kelihatan kusam. Walau bagaimanapun, kebanyakan bayi akan mendapat tona kulit yang lebih sihat, sebaik sahaja corak penyusuan sudah stabil dan mereka mendapat susu yang cukup.
Kulit bayi baru lahir berbeza rupa mengikut jumlah minggu kehamilan ibu semasa bayi dilahirkan.
-Bayi yang pramatang mempunyai kulit yang nipis dan jernih, malah mungkin disaluti lapisan lanugo, bulu yang halus dan lembut. Mereka juga mungkin diselaputi verniks, satu bahan yang putih berminyak yang melindungkan kulit daripada cecair amnion.
-Bayi cukup bulan dan bayi lewat bulan dilahirkan dengan hanya sedikit verniks dalam kelipat-kelipat kulit mereka. Bayi dilahir lewat juga mempunyai kulit yang agak berkedut dan amat sedikit lanugo atau tiada langsung.
Kebanyakan ibu bapa menyangka warna kulit yang kemerahan ini ialah kompleksi bayi dan merungut apabila warnanya bertukar kepada tona kulit sebenar dalam beberapa minggu seterusnya hingga usia bayi setahun.
Terdapat pelbagai petua yang dikatakan mampu merubah kulit bayi semasa dalam kandungan, salah satunya adalah meminum air susu lembu atau susu soya supaya kulit anak lebug cerah dan kemerahan. Ibu mengandung juga dilarang dari makan kicap atau minum air kopi bagi mengelakkan anak berkulit gelap. Tetapi itu hanyalan kata-kata sahaja, tiada kajian yang mengatakan bahawa petua itu berkesan.
Dalam keluarga yang lebih tradisional, nenek dan makcik mungkin menasihati ibu baru untuk mengurut bayi mereka yang baru lahir dengan susu mentah, krim segar, tepung gandum lengkap dan adunan kunyit untuk mendapatkan kulit yang putih dan licin.
Amalan ini perlu dielakkan kerana susu mentah mengandungi pelbagai bakteria seperti E coli dan salmonela, selain menyebabkan cirit-birit, dan keracunan. Krim segar juga boleh membuatkan kulit berminyak, yang boleh menyebabkan ruam dan kegatalan. Malah, ciri kesat tepung gandum lengkap dan kunyit boleh menyebabkan calar dan lebam pada kulit bayi.
ADA IBU YANG SUKA MENYAPUKAN BANYAK BEDAK DI KULIT BAYI UNTUK MEMBUAT MEREKA PUTIH. INI PERBUATAN SIA-SIA. SEBENARNYA, BEDAK BOLEH JADI BERKETUL-KETUL PADA KULIT BASAH DAN MENYEBABKAN KETIDAKSELESAAN.
Jika bayi berkulit cerah atau gelap terimalah seadanya kerana ianya rezeki yang telah diamanahkan kepada ibu bapa untuk menjadi ibu bapa yang mengasihi dan mencintai anaknya tanpa membandingkan warna kulit dan rupa anak.