Cuti tanpa gaji, jejaka ini tak kekok buka gerai kopi Vietnam… tak sangka sold out, siap ada bagi sumbangan – “Sebenarnya isteri minat kopi”

SEJAK pandemik Covid-19 melanda lebih setahun lalu, ramai dalam kalangan kita turut terkesan dan dibebani dengan masalah kewangan.

Ada yang terpaksa cuti tanpa gaji, lebih teruk ada yang kehilangan kerja sekaligus menyebabkan mata pencarian hilang dengan sekelip mata.

Di Twitter, tular kisah seorang lelaki yang bekerja dalam bidang pemasaran, namun baru mengusahakan perniagaan kopi Vietnam sejak 1 Julai lalu.

“Ceritanya aku dicutikan tanpa gaji. Rumah, kereta, bills dan sebagainya nak kena bayar. Belum masuk pampers, susu anak lagi.

So aku ambil inisiatif untuk jual kopi Vietnam. Warga Batang Kali (Selangor) yang mana nak try boleh datang kat stall terus, ” tulis Muhammad Afiq Amsyar Mohd Noor di Twitter.

Tweet yang dikongsi jejaka berusia 25 tahun itu menerima hampir 18, 000 ulang kicau (Retweet) dan turut meraih perhatian netizen.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Afiq mengakui tidak berniat menagih simpati, namun sekadar mencuba nasib untuk memperkenalkan perniagaannya.

“Saya terkejut bila viral, ia memang tak dijangka. Alhamdulillah, tapi ada beberapa orang mesej nak beri sumbangan untuk anak saya yang kini berusia tiga bulan.

“Saya tweet untuk perkenalkan perniagaan saya, bukan niat nak meminta untuk anak lelaki saya. Saya sangat terharu, dalam keadaan macam ni, semua orang susah… tapi ramai nak bantu.

Afiq baru sahaja memulakan perniagaan itu pada 1 Jun lalu.

“Mereka tanya cukup ke susu dengan pampers? Saya sebenarnya baru saja cuti tanpa gaji, tapi bulan Jun saya masih ada gaji. Alhamdulilllah masih ada duit.

InsyaAllah kita akan pelbagaikan menu kopi pada masa akan datang. AFIQ

“Saya sebelum ini bekerja dalam bidang pemasaran untuk sebuah syarikat wedding planner, ” ujarnya yang mesra disapa Afiq.

Menurut Afiq yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lepas, dia terkejut dengan sambutan ramai, biarpun baru beberapa hari memulakan perniagaan.

Penangan tular di Twitter, ada individu turut memberi sumbangan sehingga kopi di gerainya habis terjual pada hari keempat dia berniaga.

“Sebenarnya isteri saya yang minat kopi, tapi dia nak jaga anak, jadi saya gantikan dia. Alhamdulillah mengejutkan sebab kawan-kawan datang bagi sokongan.

“Selepas tweet blow up, ada orang beri sumbangan. Mereka bayarkan harga air semua. Hari keempat berniaga sold out. Hari kelima pun ada orang beri sumbangan juga.

Pasangan ini baru sahaja dikurniakan cahaya mata berusia tiga bulan.

“Alhamdulillah, terima kasih semua. Walaupun semua terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang prihatin antara satu sama lain.

“Walaupun mereka tak kenal saya, tapi masih nak membantu. Saya bersyukur sangat, ” ujarnya yang turut menetap di Batang Kali.

Kata Afiq, dia tidaklah kekok apabila perlu mengubah haluan kerjaya memandangkan dia pernah berniaga gerai sebelum ini.

“Sebelum kahwin saya pernah buka gerai, jual kentang goreng. Dulu dua tahun saya berniaga gerai.

“Alhamdulillah ada pengalaman sikit-sikit untuk saya berniaga kali ini. Saya kali ini turut dibantu oleh seorang kawan yang juga rakan sekerja saya, ” ujarnya lagi.

Dalam temubual sama, Afiq turut menitipkan pesan kepada individu di luar sana khususnya penggemar kopi untuk bertandang ke gerainya.

“Kepada penggemar kopi Vietnam atau baru nak cuba, sila datang rasai sendiri di gerai kami. Memang lain dari yang lain.

“Sekarang ada dua jenis saja dengan harga RM4 dan RM5. InsyaAllah kita akan pelbagaikan menu kopi pada masa akan datang, ” ujarnya.

Leave a Comment

Sila Share Dahulu Arikel Ini. Terima Kasih