in

Dua Beradik Perempuan Antara Empat Ditahan Aktif Samun

BUKIT MERTAJAM – Dua beradik perempuan antara empat individu yang berjaya diberkas oleh polis awal pagi tadi selepas dipercayai aktif melakukan jenayah samun serta ragut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, keempat-empat suspek yang berusia di antara 19 hingga 31 tahun itu ditahan pada  jam 1 pagi di sebuah rumah di Taman Angsana, Kulim.

Menurutnya, sebelum ini polis ada menerima laporan daripada seorang pekerja kedai serbaneka di Jalan Ushaniaga, dimana dia telah disamun kumpulan berkenaan dalam kejadian pada 23 Oktober lalu.

Semasa kejadian jam 4.30 pagi itu, dua suspek lelaki dan perempuan masuk ke dalam kedai berkenaan kononnya sebagai pelanggan sebelum suspek lelaki mengacukan besi panjang ke arah mangsa dan mengarahkannya membuka laci kaunter serta menyerahkan telefon bimbit.

“Bimbang dicederakan, mangsa yang berusia 20 tahun hanya mengikut kehendak suspek dan mereka kemudiannya melarikan diri selepas menyedari ada pelanggan lain masuk ke kedai berkenaan.

“Suspek sempat mengambil wang tunai sebanyak RM36 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri menggunakan kereta jenis Perodua Viva,” katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek berjaya ditahan bersama rampasan pelbagai barangan di sebuah rumah di Kulim dan mereka juga turut mengaku terlibat dengan kejadian samun di kedai serbaneka berkenaan.

Katanya, berdasarkan modus operandi kumpulan tersebut, dua daripada mereka akan masuk ke dalam kedai untuk mendapatkan wang tunai dan barangan berharga, manakala dua orang yang lain bertindak sebagai pemantau dan bersiap sedia dalam kereta Perodua Viva yang disewa untuk melarikan diri.

“Selain kedai serbaneka, mereka juga pernah samun kedai telefon bimbit, mengumpil peti wang di kedai dobi layan diri, curi bateri kenderaan, curi besi serta ragut,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan dibuat mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, kesemua suspek yang tidak bekerja itu direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nahas Dua Lori, Seorang Maut Tersepit

Kembar Kemalangan, Adik Maut