Gigih belajar walau pandemik, ‘pelajar rajin’ dapat ganjaran daripada 3 guru… tapi ada sekali kena ‘scam’! – “Mulanya order nasi goreng ayam je sebab murah”

BUKAN mudah untuk guru-guru dan para pelajar melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19.

Malah ada guru yang sanggup bersusah-payah untuk menghantar tugasan ke rumah pelajar demi kelangsungan pembelajaran anak-anak didik dalam norma baharu.

Seorang pelajar bagaimanapun menerima kejutan yang tidak disangka-sangka daripada gurunya yang datang ke kediamannya, bukan untuk menghantar tugasan sebaliknya sebiji kek keju (cheesecake).

Pelajar berkenaan, Muhammad Fakhoruddin Abdul Aziz berkata, dia mengikuti PdPR sejak tahun lalu dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, remaja berusia 17 tahun itu menjelaskan bahawa bukan semua rakan sekelas akan mengikuti kelas menerusi sesi PdPR pada satu-satu masa.

“Ada yang masuk kelas online, ada yang tak ada. Itu belum lagi bab nak hantar homework. Saya fahamlah memang mencabar untuk PdPR ni, lebih-lebih lagi cikgu banyak bersabar.

“Jadi, guru Sejarah saya maklumkan saya yang dia nak hantar modul baru ke rumah untuk tugasan PdPR. Setibanya cikgu di luar rumah ingatkan hantar homework, rupa-rupanya nak bagi cheesecake… saya kena scam dengan cikgu,” ujarnya secara berseloroh kepada mStar.

reward pdpr 2

Cheesecake pemberian seorang guru.

Lebih mesra disapa Fakha, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seri Maharaja Lela di Kampung Gajah, Perak itu kemudian dimaklumkan mengenai sebab kejutaan itu dibuat.

“Guru Sejarah kata cheesecake tu sebenarnya sebagai reward atas kerajinan saya yang selalu mengikuti kelas online dia, selalu masuk awal dan siapkan homework yang diberikan.

“Dia seorang guru yang serius dan tegas di sekolah, memang tak sangka dia buat kejutan. Sudah tentu saya happy, rasa dihargai,” ujarnya yang juga berasal dari Kampung Gajah.

reward pdpr 1

Ucapan tahniah dan penghargaan daripada guru PJPK.

Adakah Anda Penerima Bantuan? Jika Ya, Sila Like Page Ini Dahulu.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, dia memuat naik video kejutan itu di aplikasi TikTok untuk berkongsi kegembiraannya menerima kejutan selain mahu memberi inspirasi mengenai pengorbanan guru-guru sepanjang pelaksanaan PdPR.

“Kalau kita sebagai pelajar rasa susah nak ikuti kelas online, guru-guru lagilah mencabar tugasannya untuk menyediakan bahan pengajaran yang bersesuaian.

“Paling mencabar apabila guru-guru mahu memastikan para pelajarnya kekal bersemangat mengikuti kelas dan menyiapkan tugasan diberikan ketika pandemik ini,” kata Fakha.

reward pdpr 5

Seorang guru Bahasa Inggeris yang turut menghargai kerajinan pelajarnya.

Mengulas lanjut, pelajar Tingkatan Lima itu berkata, ia termasuklah pelbagai inisiatif daripada guru-guru untuk menarik perhatian pelajar dengan menawarkan ganjaran.

“Seperti guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK), dia offer saya untuk order makanan secara delivery sebab saya menjadi pelajar yang pertama menyiapkan latihan.

Kepada guru-guru yang menghargai saya, jutaan terima kasih. Halalkan segala ilmu yang diberikan dan doakan kecemerlangan saya dalam SPM.

FAKHA

“Mulanya saya order nasi goreng ayam je sebab murah menerusi menu yang cikgu hantar kat Telegram, tapi cikgu kata jangan tengok harga tapi tengok apa yang saya teringin makan. Cikgu belanja sebab nak hargai usaha saya… jadi saya pun order fried chicken chop bersama nasi goreng,” katanya yang merupakan ketua pelajar di sekolahnya.

Selain itu, Fakha turut menerima ganjaran berupa ‘top up’ bagi tambah nilai kad prabayar telefonnya daripada guru Bahasa Inggeris untuk penggunaan internet menerusi telefon pintar.

reward pdpr 4

Fakha merupakan ketua pelajar di sekolah.

“Syukur Alhamdullilah. Saya sendiri berdepan cabaran untuk guna telefon biasa-biasa je yang dah lima tahun pakai. Nak pakai WiFi di rumah pula tak mampu.

“Kehidupan saya sekeluarga sederhana. Ayah buat kerja-kerja kampung dan mak pula suri rumah sepenuh masa. Asalkan boleh pakai dah cukup, bersyukur sangat dah.

“Kepada guru-guru yang menghargai saya, jutaan terima kasih. Halalkan segala ilmu yang diberikan dan doakan kecemerlangan saya dalam SPM,” katanya.

×
Scroll to Top