Motif.my mendapat info bahawa kerajaan baharu Malaysia iaitu di bawah pimpinan Pakatan Harapan telah menggerakkan langkah – langkah untuk menstabilkan harga minyak bagi mengawal harga jualan bahan api petrol dan diesel.
Selaras dengan manifesto pihak Pakatan Harapan, subsidi bagi harga minyak Petrol RON95 dan Diesel telah diwujudkan bagi memansuhkan mekanisme pengapungan harga berdasarkan harga pasaran dunia untuk dua produk petroleum yang menjadi kegunaan harian rakyat marhaen.
Memandangkan harga petroleum pasaran dunia menunjukkan arah aliran yang kian menurun, Menteri Kewangan Malaysia telah mengumumkan melalui sidang media pada 24 Disember 2018 bahawa harga minyak akan diapungkan semula bermula 1 Januari 2019 mengikut harga pasaran dunia secara mingguan.
Kerajaan terdahulu pernah melaksanakan kaedah yang sama bermula 29 Mac 2017.
Seterusnya bermula 7 Jun 2018, ianya digantikan dengan Mekanisme Harga Automatik (APM) iaitu semua harga jualan runcit produk petroleum akan ditetapkan selaras dengan pemberian subsidi kecuali petrol RON97 yang akan mengikut harga pasaran minyak dunia semasa.
Pengenalan semula mekanisme pengapungan harga secara mingguan ini dilakukan bagi membolehkan pengguna khususnya rakyat yang memerlukan untuk menikmati dengan lebih cepat perubahan harga petroleum mengikut harga pasaran dunia.
Sekiranya harga pasaran dunia menurun setiap minggu, maka harga minyak runcit akan turut diturunkan.
Namun begitu sekiranya harga minyak dunia meningkat, harga petroleum akan dihadkan dan dikawal kepada RM2.20 seliter bagi RON95 dan juga RM2.18 bagi Diesel sehingga pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar dijalankan pada 2019.
Hal ini demikian bagi memastikan ianya selaras dengan manifesto pihak Pakatan Harapan iaitu meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat khususnya golongan B40 dalam PRU-14 yang lalu.
Susulan pengumuman rasmi di laman Facebook rasmi KPDNKK itu, harga jualan runcit petroleum akan disemak secara berkala setiap minggu bermula 1 Januari 2019.
Harga bagi seliter Petrol (RON95 | RON97) dan Diesel dalam jadual di atas, berkuat kuasa (efektif) selama seminggu bermula jam 12:01 awal pagi, Sabtu 8 Februari 2019.