Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah perasaan bila kita membaca atau mendengar berita anak-anak kecil yang menjadi mangsa pengasuh. Bagaimana perasaan ibu bapa itu? Dan jika anak itu masih hidup, bagaimana dia membesar dengan trauma yang kuat itu, hanya Allah yang tahu.
Bolehkah kita membendung kejadian ini dari terus menular dan menjadi ketakutan ramai ibu bapa yang terpaksa meningalkan anak-anak dengan pengasuh.
Disebabkan banyak perkara seperti ini berlaku , ramai para ibu yang berhenti kerja sebagai jalan penyelesaian kepada perkara ini. Mungkin itu yang terbaik.
Namun, ada keluarga yang tidak mampu mengambil tindakan itu kerana tekanan ekonomi dan kemungkinan juga kerana spesifikasi kerja yang memerlukan si ibu perlu terus bekerja. Selain itu, ibu tungga juga menjadi sebab mengapa berhenti kerja bukanlah jalan penyelesaian baik bagi seseorang ibu itu.
3 PERKARA YANG ANDA PERLU TAHU UNTUK MEMASTIKAN PENGASUH ITU BETUL-BETUL BOLEH DIPERCAYAI.
1) Pastikan dia mempunyai kelulusan penjagaan kanak-kanak. Ini amat penting kerana ini akan memastikan kemahiran yang dimiliki. Jika ia adalah pusat penjagaan kanak-kanak, maka amat penting bahawa semua pekerjanya yang menjaga kanak-kanak mempunyai kelulusan penjagaan kanak-kanak yang diiktiraf.
Tolong jangan tinggalkan anak kecil anda dengan sesaorang dan tempat jagaan kanak-kanak yang ikut tangkap muat sahaja. Keselamatan anak anda adalah tanggungjawab anda. Tiada kompromi!
2) Buat siasatan dan kajian sebelum sah mengambil seorang atau pusat asuhan itu sebagai pengasuh anak-anak anda.
*Lihat track recordnya. Jangan hanya dengar apa yang dia atau mereka katakan. Ingat ya, mereka di dalam bisnes. Mereka boleh kata apa sahaja agar mereka mendapat customer.
*Interview ibu bapa yang pernah dan ada menghantar anak mereka di situ.
*Tanya anak kecil yang diasuh tu, jika ada yang sudah pandai bercakap. (Tapi tanyalah bila pengasuh tiada di situ) dan perhatikan gerak badan anak itu. Selalunya anak-anak kecil bercakap benar. Kalau nampak mata anak itu seperti takut-takut, tandakan ia sebagai satu petanda yang anda perlu kaji lagi. Kemungkinan tempat itu kurang selamat adalah tinggi. Bertanyalah dengan anak-anak lain secara berasingan.
*Dengar dan lihat bahasa dan lihatlah akhlak pengasuh-pengasuh, anak-anak mereka jika ada di situ dan juga kanak-kanak lain yang diasuh. Jika bahasa dan akhlak mereka kasar, seharusnya batalkan sahaja niat untuk meninggalkan anak anda disitu ,mudahkan perkara seperti ini jika mahu anak anda berakhlak mulia.
3) Pantau berkali kali. Sekiranya anda sudah yakin itulah tempat atau orang yang anda hendak tinggalkan anak anda, maka lakukan pantauan dari semasa ke semasa. Jika pengasuh atau tempat asuhan itu bagus, mereka tidak akan kisah dan marah anda datang memeriksa kerana mereka tidak ada apa yang hendak disembunyikan.
Jika mereka mengatakan jangan datang kerana tidak mahu anak anda terus menangis tidak mahu berpisah, maka anda boleh pantau dari luar atau lebih baik minta seseorang yang anak anda tidak kenal untuk datang membuat pantauan.
Ini point tambahan yang sangat penting untuk anda lakukan:
Bila ambil anak balik.
-Buka mata dan lihat keadaan tempat itu. Dengarkan ‘bahasa’ yang digunakan. Adakah pengasuh masih boleh berbahasa berlembut dengan anak-anak asuhannya dan anak-anaknya sendiri? Jika tidak ini suatu yang perlu diselidik lagi.
– Balik rumah, terus check seluruh badan anak anda. Peka terhadap mood anak anda. Jika ada nampak kesan lebam atau yang sepertinya; maka selidik bagaimana ianya berlaku, jika anak itu sudah boleh bercakap. Jika tidak, esoknya tanyalah kepada pengasuh itu.
Tak mengapa jika anda nampak cerewet. Jika pengasuh itu baik, mereka sendiri akan sangat prihatin dan ingin tahu apa sebenarnya dan mereka akan berhati-hati. Jika sebaliknya, maka anda perlu terus pantau.
Ada yang merasakan kalau sudah pilih pengasuh maka tawakal sahaja lah. Oh, ini sangat bahaya. Tawakal bukan bermaksud ‘tidak mengikat tali unta itu’. Kita tetap perlu terus berusaha memastikan keselamatan anak-anak kita. Membuat ‘checking mechanism’ itu bukan bermaksud kita tidak percaya. Itu bermaksud kita prihatin.
Perlu Bekerja
Memang kita sedih dan tersentap membaca cerita begini dan merasakan ia mungkin tidak akan terjadi kepada kita. Namun, tidak ada ruginya jika kita cerewet akan hal begini.
Bila anda membaca ini, kemungkinan anda merasakan bahawa takut untuk tinggalkan anak anda dengan pengasuh.
Itu bukan matlamat perkongsian Ibu ini. Perkongsian Ibu ini bermatlamat agar pembaca akan tahu bagaimana untuk memastikan tempat asuhan yang anda tinggalkan anak-anak anda itu yang baik dan anak-anak anda selamat.
Anda perlu bekerja. Tidak kiralah kerana apa. Namun, pucuk pangkalnya anda perlu bekerja. Pergilah kerja dengan hati yang tiada was-was kerana anda telah memilih pengasuh yang bertanggung-jawab, baik akhlaknya dan menjaga keselamatan anak-anak anda.
Berdoa
Satu perkara yang PALING PENTING untuk anda lakukan setiap hari adalah BERDOA kepada Allah dan minta Allah jaga anak-anak anda. Minta dari Allah agar anak-anak mu dijauhi dari mereka yang tidak bertanggung-jawab.
Kita boleh mengambil segala langkah, namun tawakal dan berdoa kepada Allah adalah yang paling utama. Kerana tidak bergerak sebiji zarah sekali pun kecuali dengan izin Allah.
Allahlah yang menjaga anak-anak kita sebenarnya. Maka pohonlah daripadanya. Pohon anak-anak kita senantiasa selamat dari segala musibah dan penganiayaan Pohonlah agar hati pengasuh anak-anak kita itu ikhlas menjaga anak-anak kita. Doakan kebaikan untuk pengasuh anak-anak kita itu juga.
Hargai Pengasuh yang baik.
Dan sebelum Ibu mengakhiri perkongsian ini, jika anda sudah menjumpai pengasuh yang baik, maka hargailah mereka. Mereka adalah insan yang didatangkan kepada anda untuk memudahkan anda melakukan urusan hidup anda seharian. Itu rezeki yang sangat besar dan Allah telah berpesan:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS. Ibrahim [14]: 7)
Semoga anak-anak kita dihindari dari perkara yang tidak baik dan membesar dengan baik. Semoga para pengasuh menghargai pekerjaan mereka serta menjaga anak-anak dengan kasih sayang dan ikhlas.