Hari nak hujan, nenek masih setia kutip botol sambil tolak cucu dalam troli… hanya tenung wang disedekahkan seorang usahawan wanita

PERJALANAN pulang wanita ini pada Selasa membawanya kepada satu situasi yang tak disangka-sangka.

Pada hari itu Nur Khairina Kassim, 31, yang baru selesai menjalani rawatan gigi melihat seorang wanita berusia sedang menolak troli yang di dalamnya ada seorang kanak-kanak lelaki di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tertanya-tanya akan identiti mereka, dia yang mesra disapa Khairina meminta rakan yang sedang memandu kereta agar berpatah balik untuk bertemu dengan wanita dan kanak-kanak itu.

“Masa tu saya lihat langit dah gelap macam nak hujan. Jadi saya minta partner saya untuk berpatah balik. Sejujurnya memang rasa sebak tengok dia tolak troli di jalan.

“Sebelum saya berhenti, ada dua motosikal dan sebuah kereta berhenti jumpa wanita itu. Bila saya turun, saya tanya dia nak ke mana? Katanya dia tinggal di sebuah PPR (Program Perumahan Rakyat) berhampiran.

“Kanak-kanak itu merupakan cucunya. Dalam troli, saya nampak ada kotak dan botol.Saya pun tak sempat tanya banyak. Tapi sempat hulurkan sedikit sumbangan wang kepadanya.

“Dia macam terkejut. Kalau tengok balik video tu, nampak dia tenung duit, mungkin ada kesusahan yang tak diceritakan kepada kita,” imbasnya lagi.

Paparan skrin video tular itu.

Menurut Khairina yang menetap di Wangsa Maju, pertemuan singkat itu cukup memberi kesan emosi kepadanya memandangkan situasi sukar pandemik Covid-19 yang masih belum berkesudahan.

Malah katanya, dia kini lebih peka dengan keadaan sekeliling dan cuba membantu mereka yang memerlukan semampu mungkin.

Khairina turut berkongsi kisah pertemuan itu menerusi aplikasi TikTok miliknya.

“Saya tahu ramai yang terkesan sejak pandemik. Sekarang kita jadi lebih prihatin. Jalan-jalan naik kereta pun tak buka radio, tapi mata pandang kiri kanan, cari bendera putih.

“Sekarang jadi makin sensitif. Kita kena sentiasa lihat sekeliling, jika ada yang memerlukan. Kalau dulu naik kereta fikir nak ke destinasi saja.

“Sekarang kita kena cari mereka yang susah kerana mungkin ada yang malu nak meminta, atau tiada cara dapatkan bantuan. Jadi kita pun kena mainkan peranan,” ujarnya yang juga pengasas produk minuman diet kesihatan sejak enam tahun lalu.

Kata Khairina, pihaknya juga ada rancangan untuk membantu 100 keluarga kurang berkemampuan di sekitar Wangsa Maju yang mana usaha murni itu akan dimulakan pada Sabtu ini.

“Kita dah siap poster sebenarnya, program itu akan dimulakan pada Sabtu. Cuma kebetulan terjumpa makcik yang tolak troli tu dulu.

Khairina pada Sabtu ini akan memulakan program bantuan kepada golongan miskin di sekitar Wangsa Maju.

“Kiranya makcik tu yang jadi permulaan kepada program ini. Tapi secara rasminya saya akan mulakan pada Sabtu ini.

“Pada Selasa malam, saya ada buat kelas online dengan team saya. Sekitar 80 orang. Saya ceritakan semula kisah wanita tolak troli itu, ramai yang menangis,” ujarnya lagi.

Khairina mengaku dia kini lebih peka memandangkan ramai insan yang terkesan dengan pandemik yang melanda.

Di aplikasi TikTok, video wanita menolak troli bersama cucunya sehingga kini meraih lebih 350,000 tontonan.

Malah, rata-rata komen menzahirkan rasa sedih dan simpati, tak kurang juga yang meluahkan hasrat untuk membantu.

 

Leave a Comment

Sila Share Dahulu Arikel Ini. Terima Kasih