Kebiasaannya, urusan penghantaran kereta dari Semenanjung ke Sarawak ialah sesuatu yang agak memeningkan kepala. Mana tidaknya, anda perlu menyediakan sejumlah bajet untuk urusan tersebut. Tapi jika sayang pula hendak dijual kan jika kereta anda masih cun?
Memindahkan kereta ke Sarawak dari Semenanjung tidaklah susah seperti yang anda sangkakan. Jika anda perlu berpindah ke seberang Laut China Selatan, berikut ialah cara-cara menghantar kereta dari Semenanjung ke Sarawak:
1. Cari ejen penghantaran
Terdapat banyak ejen-ejen berdaftar yang menguruskan penghantaran kenderaan ke seberang laut. Dalam banyak-banyak pilihan itu, anda boleh memilih perkhidmatan Pos Logistics untuk memindahkan kereta anda.
Kos pemindahannya agak berpatutan iaitu sekitar RM 1,500 ke atas bergantung kepada jenis kenderaan. Tambahan pula, anda dapat berurusan dengan mereka secara peribadi dan tidak melalui orang tengah.
Pos Logistics merupakan salah satu cabang servis di bawah Pos Malaysia. Pos Logistics menggunakan 3 kapal Roll-On/Roll-Off (RORO) iaitu Malaysian Star, Positive Brave dan Positive Pioneer.
Jika anda ingin membuat tempahan dengan Pos Logistics, berikut ialah butiran lanjut :
Ini Panduan Untuk Anda Hantar Kenderaan Dari Semenanjung Ke Sarawak
Kredit : Pos Logistics
2. Ambil geran kereta dan surat pelepasan (release letter) dari pihak bank
2a. Tulis surat kebenaran membawa kenderaan ke Sarawak
Sekiranya pinjaman bayaran kereta anda dengan pihak bank masih belum dijelaskan, anda perlu menulis surat kepada pihak bank terlebih dahulu untuk memohon mereka mengeluarkan geran kereta dan surat kebenaran memindahkan kereta ke Sarawak.
Dalam surat anda kepada bank, nyatakan hasrat anda untuk berpindah dari Semenanjung ke Sarawak. Pastikan anda tuliskan nama penuh anda (pemilik kereta) serta nombor kad pengenalan dan masukkan butiran kereta seperti berikut:
– No. pendaftaran kereta
– Nama model
– No. enjin
– No. chasis
2b. Tunjukkan surat sokongan (jika ada)
Jika anda berpindah kerana pekerjaan baru, lampirkan surat tawaran dari majikan baru anda kepada pihak bank.
2c. Bayar yuran proses RM20 tunai ke bank
2d. Terima geran kereta dan surat pelepasan dari bank
3. Emel dokumen berikut kepada ejen penghantaran kereta:
– Salinan kad pengenalan pemilik kereta (depan dan belakang)
– Salinan geran kereta (depan dan belakang)
– Salinan surat pelepasan dari bank (jika masih membuat pinjaman)
4. Isi borang pendaftaran Pos Logistics
Staf Pos Logistics akan menghantar emel jadual kapal serta borang penghantaran. Isikan borang dengan maklumat lengkap.
Nota:
– Shipper bermaksud pengirim kereta (anda)
– Consignee/Notify party bermaksud penerima (wakil anda di Sarawak)
5. Hantar kenderaan ke Pos Logistics Vehicle Transit Centre (VTC) di Northport sekurang-kurangnya tiga (3) hari sebelum kapal berlabuh
Cara menempah ialah dengan menghantar kereta anda 3 hari sebelum kapal bertolak. Di sini anda boleh memilih bagaimana kereta anda dihantar ke VTC Northport iaitu sama ada dengan cara door-to-door, door-to-port, port-to-door atau port-to-port.
Perkhidmatan paling mudah ialah perkhidmatan door-to-door iaitu dari pintu rumah anda di Semenanjung ke pintu rumah anda di Sarawak. Walau bagaimanapun, anda perlulah menyediakan bajet lebih bagi tujuan itu. Jika anda mahukan servis door-to-door dari Pulau Pinang ke Kuching misalnya, anggaran kadar cas ialah sekitar RM 1,600.
Namun, sekiranya anda rajin, mempunyai masa dan paling penting jimat, anda boleh memilih untuk menghantar sendiri kenderaan anda ke Pelabuhan Klang dan mengambilnya di Kuching, Sarawak.
6. Bermalam di Klang (optional)
Untuk pengetahuan anda, VTC hanya buka pada hari bekerja (Isnin-Jumaat, 8.30 pagi-5.30 petang).
Bagi sesiapa yang tidak berada di kawasan berdekatan dengan Klang dan hanya dapat memandu ke Klang pada hujung minggu, anda boleh menghubungi pihak VTC jika anda perlu menghantar pada hari minggu, bergantung jika ada staf yang ada di sana. Alternatif yang lebih mudah ialah mengupah runner.
Anda juga boleh menginap semalam di Klang sebelum anda menghantar kereta anda ke Pelabuhan Klang pada keesokan harinya.
Jumlah kos penginapan dan minyak adalah jauh lebih murah berbanding mengupah orang memandu kereta dari kediaman anda di Semenanjung.
7. Pandu ke Northport CT2, Gate 1, Kompleks zon perdagangan bebas
Cara mudah ialah dengan menggunakan Waze tetapi papan tanda di kawasan pelabuhan sangat jelas untuk sesiapa sahaja yang memandu ke sana pertama kali.
8. Ambil pas pelawat di Gate 1 Zon Perdagangan Bebas Port Klang
Setibanya di Gate 1, anda perlu berhenti di pondok pegawai. Serahkan lesen memandu anda kepada pegawai dan beliau akan beri anda pas masuk. Sila pandu melalui Laluan Hijau iaitu Laluan Kenderaan Awam dan Kenderaan Tanpa Muatan dan tunjukkan pas masuk kepada pengawal di sana.
9. Hala ke pejabat Pos Logistics Berhad
Untuk ke pejabat Pos Logistics, dari Gate 1, pandu ikut jalan utama. Apabila tiba di bulatan, hala terus sahaja (12 o’clock atau second exit) sehingga anda tiba di satu lagi pintu masuk. Sila masuk melalui laluan Gate 8 (yang berlabel “VTC sahaja”) di hujung sebelah kanan.
Dari Gate 8 (VTC Sahaja), pandu lurus. Anda akan melihat sebuah pintu pagar yang terbuka dan papan tanda Pos Logistics.
10. Ambil gambar kereta anda dari semua sudut
Gambar ialah bahan bukti sekiranya terdapat calar atau kerosakan ke atas kenderaan semasa pemindahan kereta.
Staf Pos Logistics akan memeriksa kereta anda dan meminta anda kosongkan laci dan sebagainya. Jangan tinggalkan ‘loose items’ di dalam kereta. Selepas itu, staf akan mengisi sebuah borang semakan kereta dan menyerahkan borang itu kepada anda untuk simpanan anda.
Seluruh proses ini (dari Gate 1 sehingga pemeriksaan oleh PLB) boleh selesai dalam 30 minit. Sekejap jak duhal.
11. Keluar dari Northport dengan shuttle
Kawasan Northport terlalu luas maka mustahil untuk anda berjalan kaki di sini. Jadi, setelah selesai proses pemeriksaan kereta, staf Pos Logistics akan memberi nombor telefon khidmat shuttle kepada anda untuk membawa anda keluar dari kawasan pelabuhan dan kembali ke pondok pegawai di Gate 1 untuk serahan pas pelawat.
Bayaran RM5 akan dikenakan sebagai tambang kepada pemandu shuttle.
12. Buat bayaran secara online kepada PLB
Setelah membuat bayaran secara online, sila emel resit kepada staf Pos Logistics dan mereka akan menghantar butiran mengenai kapal yang akan menghantar kenderaan anda.
13. Ambil kereta dari Kuching Port di Pending
Apabila kereta sudah sedia untuk diambil, pihak Kuching Port akan menghubungi consignee/notify party seperti yang dinyatakan dalam borang shipping instructions yang anda isi. Anda atau wakil anda (consignee/notify party) haruslah memastikan agar tiada kehilangan barangan atau kerosakan pada kenderaan.
Begitulah cara untuk membawa kereta dari Semenanjung ke Sarawak. Mudah je kan? Selamat maju jaya!