in

Kedah Dan JDT Mempunyai Peluang 50-50: Tunku Ismail

Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya bahawa Kedah dan JDT mempunyai peluang yang seimbang untuk muncul sebagai juara Piala Malaysia 2019 menjelang perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.


Tunku Ismail bertitah, segala kemungkinan boleh terjadi semasa perlawanan semasa final nanti.

“50-50. Ini aksi bola sepak final. Apa-apapun boleh berlaku. Saya ucapkan yang terbaik untuk kedua-dua pasukan,” titah Tunku Ismail kepada pemberita semasa sesi lawatan ke ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini hari ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung di final saingan berprestij ini adalah pada edisi 2017 dan menyaksikan JDT mencatat kemenangan 2-0 sekali gus menamatkan penantian 32 tahun bergelar juara.

JDT yang menjuarai Piala Sumbangsih empat kali dan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini, mengintai gelaran juara Piala Malaysia kedua dalam tempoh tiga tahun selepas mara ke final dengan menewaskan Selangor 5-1 secara agregat.

Kedah pula yang dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini berdepan situasi mendebarkan sebelum mara ke final selepas mengatasi Pahang dengan agregat 8-8.

Sementara itu, Tunku Ismail bertitah baginda tidak menolak kemungkinan JDT juga mampu muncul juara saingan Liga Juara-Juara AFC suatu hari nanti, namun mengakui perjalanan skuad Harimau Selatan itu masih panjang.

Bagaimanapun, baginda bertitah, peluang beraksi dalam saingan itu ketika ini memberi pendedahan berguna khususnya kepada barisan pemain.

“Projek kami (JDT) baru beberapa tahun berbanding kelab gergasi Asia lain yang sudah lama beraksi dalam saingan berprestij ini…dengan mereka punya program pembangunan dan segalanya jadi untuk memenangi ACL hampir mustahil pada masa ini tetapi dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku.

“Saya tidak tumpukan tentang perkara itu…saya lebih suka apabila pasukan JDT berada dalam ACL kerana kualiti saingan kejohanannya lebih memberi pendedahan kepada pemain tempatan yang bermain di JDT,” titah baginda. – Bernama

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Elak Kucing Di Tengah Jalan, Dua Orang Lelaki Maut

Pemain Gitar Damasutra Meninggal Dunia