in

Kenyataan MB Perak Mengenai DAP Sekadar Pandangan Peribadi

PONTIAN – Kenyataan ‘kontroversi’ yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Besar Perak mengenai DAP semasa turun berkempen di Tanjung Piai dekat sini baru-baru ini hanyalah pandangan peribadi beliau semata-mata.


Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun telah mengingatkan Ahmad Faizal bahawa DAP merupakan komponen penting dalam PH selain menjadi rakan penting dalam kerajaan Perak.

“Saya tak mengikuti sepenuhnya (ucapan Ahmad Faizal), namun saya fikir itu mungkin soal pengalaman peribadi. Walau macam mana pun dia seorang Menteri Besar, dan DAP rakan penting Kerajaan Negeri Perak.

“Apa pun saya rasa (pandangan) tersebut semua private, pengalaman peribadi beliau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pekan Nenas di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau akan meminta penjelasan sebenar daripada Ahmad Faizal mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai kenyataan Ahmad Faizal mengenai DAP di Perak dalam satu rakaman video yang tular.

Dalam video berkenaan Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya iaitu DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu dilihat turut bersama calon PH untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak.

Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan penghargaan kepada pimpinan tertinggi DAP kerana turut serta dalam kempen di Tanjung Piai bagi memenangi kerusi parlimen berkenaan.

“Di Tanjung Piai pemimpin DAP turun. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Mereka tahu ini adalah perjuangan PH, ia bukan mengenai DAP, ia bukan mengenai Bersatu,” kata beliau. -Bernama

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Aaron-Wooi Yik ‘cantas’ Juara Dunia

Pelancong Singapura Cedera Jambatan Runtuh di Batam