Kerajaan Bersetuju Suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka mula awal Oktober

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Pemberian suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 dijangka akan bermula pada Oktober depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti golongan rentan atau golongan berisiko untuk diberi keutamaan menerima suntikan dos penggalak tersebut.

Beliau berkata, terdapat beberapa golongan yang diberi keutamaan menerima suntikan dos ketiga itu, antaranya warga emas yang memiliki komobiti atau masalah kesihatan yang kronik.

“Petugas barisan hadapan yang berdepan risiko tinggi, individu memiliki tahap imun rendah dan petugas yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan warga emas turut diberi keutamaan dalam pemberian vaksin dos ketiga ini.

“Kumpulan ini kita akan dahulukan sebelum membukanya kepada golongan lain,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja dan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, keutamaan kepada golongan itu amat penting memandangkan data kematian dan kategori lima yang masuk ke unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan kebanyakan warga emas yang memiliki masalah komobiti merupakan golongan paling berisiko.

Bagaimanapun, tegas beliau, pemberian dos ketiga tidak bermaksud hasil suntikan dua dos tidak berkesan.

“Ia tidak benar, sebaliknya banyak negara telah memulakan dos penggalak seperti United Kingdom (UK) dan Singapura,” jelas beliau.

Beliau berkata, pemberian dos ketiga adalah bagi meningkatkan sistem imun orang awam terhadap virus tersebut.

“Kita belum buat keputusan sama ada dos ketiga perlu untuk semua rakyat atau tidak memandangkan ia masih peringkat perbincangan kumpulan pakar,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai jenis vaksin dos ketiga, Khairy berkata, kerajaan sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar untuk didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Untuk dos ketiga, kita perlu mendapatkan kebenaran NKRA kerana badan tersebut hanya bagi kebenaran untuk dua dos sahaja bagi Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca.

“Jadi, semua pengeluar vaksin ini telah diminta menghantar maklumat dos penggalak kepada NKRA. Saya jangka dalam tempoh seminggu dua, boleh diluluskan,” katanya.

Khairy berkata, beliau akan mengumumkan jenis vaksin digunakan untuk suntikan dos ketiga sama ada serupa seperti sebelum ini atau campuran.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut mengumumkan bahawa Kedah akan memulakan program vaksinasi kepada golongan remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam atau sekolah bermula Isnin.

PUTRAJAYA, 1 Mac — Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang disuntik menggunakan picagari khas ‘Low Dead Volume’ (LDV) kepada salah seorang anggota barisan. Kerajaan telah mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu ‘potong barisan’ untuk program vaksinasi Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
–fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Leave a Comment

Sila Share Dahulu Arikel Ini. Terima Kasih