in

Maut Kemalangan Selepas Bantu Gelandangan

SABAK BERNAM – Arwah memang seorang yang suka menolong orang. Dia tidak pernah lokek menghabiskan tenaga, masa dan wang ringgit ke arah itu,” kata Mohd Hamizar Sulaiman, 49, bapa kepada mangsa yang maut kemalangan di di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), arah Selayang ke Kuala Selangor semalam.

Keadaan kereta Mitsubishi Lancer yang dinaiki tiga sekawan hingga mengorbankan Haiqal dalam kemalangan di Kilometer 19.1 Lebuhraya LATAR semalam.

Mohd Hamizar berkata anaknya, Muhammad Haiqal, 22, memberitahunya mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kemalangan berlaku.

“Arwah ada beritahu saya serta isteri mengenai rancangannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik malah sebelum bertolak (kelmarin), saya ada memberinya RM500 untuk melaksanakan aktiviti itu,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, Muhammad Haiqal bersama dua lagi rakannya yang menaiki kereta Mitsubishi Lancer baru pulang daripada membantu gelandangan maut selepas terlibat kemalangan.

Dalam kejadian itu, Haiqal tercampak keluar dari kenderaannya yang sebelum itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Pemandu kereta, Muhammad Zuhairi Shuhaimi, 24, dan penumpang belakang, Fakrul Fahim Khairul Anuar, 22, masing-masing cedera ringan dan dirawat di Hospital Selayang.

Mohd Hamizar berkata, anak kedua dari lima beradik itu memaklumkannya mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kemalangan berlaku.

“Alhamdulilah, apabila saya dan isteri menonton video arwah membantu gelandangan di laman sosial kami bersyukur perkara itu berjaya dilaksanakan dan reda dengan pemergiannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Purnama 2, di sini hari ini.

Mohd Hamizar iaitu seorang Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar berkata, beliau menerima berita mengenai kemalangan itu daripadanya isterinya, Noreza Malek, 50, kira-kira jam 4.20 petang.

“Pada mulanya hati saya kuat mengatakan bahawa Haiqal masih hidup namun semuanya berakhir apabila tiba di hospital dan mendapati Haiqal sudah pergi buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, Noreza menyifatkan anaknya itu sebagai seorang yang periang serta mesra dengan keluarga dan rakan, peramah serta suka membantu.

“Sebaik sahaja saya serta keluarga tiba di hospital untuk melihat jenazah, ratusan anak muda yang pernah arwah bantu berkumpul untuk menguruskan jenazah dari memandikan sehinggalah menghantar ke rumah.

“Kenderaan jenazah juga diuruskan mereka (anak muda) dan saya sebagai ibu terharu dan bersyukur mereka tetap bersama meskipun arwah sudah tiada,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau kira-kira jam 10.15 pagi.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pelajar Dirogol Di Sekolah: Tujuh Pelajar Lelaki Direman

Nazrief Nazri Sah Bergelar Suami