Walaupun sudah menunjukkan perubahan menerusi persembahan dan mendapat komen positif daripada juri, ia masih belum cukup untuk menyelamatkan Ifa Raziah daripada menjadi peserta pertama tersingkir dalam program realiti, Terpaling Juara.
Menurut Ifa, dia akur dengan keputusan itu kerana merasakan sudah memberikan yang terbaik sepanjang menyertai program itu.
“Saya setuju tersingkir minggu ini. Datuk Hattan ada jumpa saya lebih awal dan katanya undian dalam talian saya rendah tetapi markah juri tinggi.
“Mungkin peminat saya semua ada di sini malam ini dan mereka tidak sempat mengundi. Apa pun, saya sudah buat yang terbaik. Saya sudah katakan sejak awal, sama ada saya tersingkir atau mara ke pusingan akhir, saya tetap Ifa Raziah.
“Rezeki Allah itu luas dan bukan di sini sahaja. Banyak lagi rezeki yang berdekatan. Mungkin Allah nak tunjuk perjalanan saya hanya sampai ke sini tetapi dia nak beri lebih daripada apa yang saya dapat di sini,” katanya kepada MH.
Ifa yang mempersembahkan lagu Purnama yang asalnya dinyanyikan oleh ketua pasukannya, Naim Daniel berkata demikian selepas tamat saingan Terpalan Juara, malam tadi.
Dia turut memberitahu akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa walaupun ada pihak yang gembira dengan penyingkirannya.
“Semua ini bukan penamat tetapi permulaan baharu dan baik buat saya. Mungkin ada yang ketawa, bertepuk tangan atau bersorak kerana tersingkir tetapi ia tidak mematahkan semangat saya.
“Saya masih di sini, berdiri teguh dan masih relevan dalam industri. Orang masih memanggil saya untuk membuat persembahan, berlakon dan mengacara. Apa yang membuatkan saya ketawa ialah kehidupan mereka masih sama.
“Saya okay sahaja bila ada orang yang tak suka atau membenci saya. Saya berterima kasih kerana mereka ini yang memberikan promosi percuma kepada saya.
“Terima kasih kerana kini saya makin dikenali, diperkatakan dan dipertikaikan. Reda itu penting. Kalau tak reda, hati kita tak akan tenang,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ifa turut menyifatkan minggu ini sebagai minggu yang penuh hikmah dalam hidupnya.
“Saya sifatkan minggu ini sabagai minggu yang penuh hikmah. Pertama, saya dapat mengenali guru vokal, Shaffiq Erwin secara lebih dekat. Saya juga minta dia sendiri untuk betulkan kelemahan nyanyian saya.
“Yang kedua, pendakwah, Ustazah Asma Harun datang sendiri berjumpa dengan saya setelah menyelar diri saya sebagai seorang yang istijraj. Seorang pendakwah datang memohon maaf kepada saya.
“Mungkin pada mata orang saya ini hina tapi mungkin tidak dipandangan Allah SWT,” akhirinya.
Terdahulu, pada konsert minggu keempat ini, penyanyi Hazami bagaikan tersedar daripada tidur apabila persembahan mantap menerusi lagu Mewangi dipilih sebagai persembahan terbaik dan membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000.
Terpaling Juara dihoskan gandingan Shiha Zikir dan Haziq Hussni, manakala jawatan juri disandang oleh dua penyanyi lagenda tanah air, Datuk Hattan dan Fauziah Latif.
Baca juga : “Terpaksa” – Demi nmpk cantik atas pelamin Mas Idayu sanggup lakukan ini.