TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebuah lori yang membawa muatan barang runcit di Kilometer 373.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Slim River di sini malam tadi.
Semasa kejadian sekitar jam 12.30 malam itu, Mohd Tomari Mohd Jaka, 37, yang beralamat di Batu Pahat, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit didalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, melalui rakaman percakapan oleh pemandu lori yang terselamat, kejadian berlaku ketika dia sedang memberhentikan kenderaannya dengan memberikan isyarat lampu (double signal) akibat kesesakan jalan.
Pemandu berusia 41 tahun itu memberitahu ketika kejadian, pekerja lebuh raya sedang meletakkan kon di sebelah kiri jalan untuk kerja-kerja pembaikan.

“Ketika itu, pemandu berkenaan mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang dan mendapati lorinya telah dilanggar oleh lori lain yang dipandu mangsa.
“Lelaki itu kemudiannya menghubungi pihak Plus bagi mendapatkan bantuan selepas melihat mangsa tersepit,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.