in

Natasha Ketuai Skuad Golf Negara Ke Filipina

PEMAIN golf wanita negara, Natasha Andrea Onn akan mengetuai skuad negara ke temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang bakal berlangsung di Luisita Country Club di Clark, Filipina dari 4 hingga 8 Disember akan datang.


Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) berkata, pemilihan Natasha dan enam pemain lain dibuat oleh Jawatankuasa Kecil Pasukan Kebangsaan yang diketuai beliau sendiri dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan prestasi pemain bagi tempoh dua bulan iaitu Jun hingga Julai tahun ini.

Kriteria itu adalah menjuarai kejohanan golf antarabangsa, juara Sukan Malaysia, ranking pemain sifar (scratch), purata pukulan,ranking golf amatur dunia di samping disiplin serta sikap pemain.

“MGA telah mendapatkan khidmat (jurulatih golf profesional), Kim Baldwin (dari Australia), dan , Lim Ai Lian (bekas pemain golf wanita negara) bagi memastikan pelan strategik kami diuruskan dengan profesional bagi memastikan pemain kita meraih kedudukan podium,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MGA di sini kelmarin.

Selain Natasha, pemain lain ialah Ervin Chang, K. Rhaasrikhanesh, Adam Arif Madzri dan Zubair Firdaus dalam kategori lelaki, manakala dua lagi, Alya Abdul Ghanny serta Ashley Lau, dalam kategori wanita.

Natasha, 17, yang berpangkalan di Amerika Syarikat mempamerkan persembahan memberangsangkan pada musim ini dengan memenangi Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia pada Jun 2019 di Sarawak di samping berada di tempat teratas dalam dua daripada tiga acara peringkat kolejnya, termasuk memenangi Kejohanan Gold Rush di Amerika Syarikat pada Februari lepas.

Ervin, yang meneruskan pengajian di Liberty University di Amerika Syarikat turut mencapai keputusan positif termasuk muncul sebagai pemain amatur terbaik Terbuka Singapura, sebuah acara profesional pada Januari lepas, sebelum menempatkan diri dalam lima kedudukan teratas dalam beberapa kejohanan peringkat kolej di Amerika Syarikat.

Rhaasrikhanesh turut memenangi beberapa kejohanan tahun ini, paling jelas kejuaraan berturut-turut masing-masing dalam edisi ke-11 Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin pada Mei dan Kejohanan Amatur Terbuka Kelantan ke-45 pada Julai.

Pencapaian terbaik negara dalam Sukan SEA adalah memenangi pingat perak menerusi Gavin Kyle Green dalam acara individu lelaki pada edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar. – Bernama

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Itu Bukan Gambar Peribadi Intan atau Zul: Osman Ali

Datuk Bandar Dipukul, Disimbah Cat