in

Nilai Sebaik Mungkin Sebelum ‘buang’ Pemain: Misbun

KANGAR – Semua aspek dan faktor perlu diambil kira dan dinilai sebaik mungkin sebelum membuat sebarang proses ‘pembuangan’ mana-mana pemain daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilakukan.


Banyak pertimbangan yang harus dilakukan supaya pihak persatuan tidak salah untuk menilai ‘antara kaca dan permata’ mana yang sepatutnya terus berada dalam badan induk sukan itu.

Datuk Misbun Sidek selaku Ketua jurulatih lelaki negara berkata, sebagai jurulatih beliau akan melakukan tugas sebaik mungkin dengan mempersiapkan pemain dari segi latihan, persiapan ke arah kejohanan serta ulasan dan laporan kepada pengurusan.

“Jika pihak pengurusan yang buat keputusan itu, kita terpaksa akurlah.  Namun jika kuasa diberi kepada jurulatih, mungkin jurulatih yang akan buat keputusan sama ada hendak direviu atau ditukar ganti atau dirombak. Itu adalah lebih pada mana yang ada kuasa untuk buat keputusan.

“Pemain yang ada contohnya yang prestasinya selepas dibagi beberapa bulan atau tahun dan tidak meningkat, itu harus dinilai dengan sebaik mungkin sebelum kami tukar, ganti kepada pemain yang lain,” katanya.

Misbun bersama skuad badminton negara menyertai kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 (IC) di Dewan 2020 pada 12 hingga 17 November.

Beberapa pemain yang menunjukkan prestasi hambar tahun ini dikatakan tidak senang duduk selepas memikirkan sistem ‘penyingkiran’ akan dijalankan BAM pada hujung Disember ini.

BAM sebelum memperkenalkan Projek 24 iaitu satu pelan yang menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 selain menetapkan sasaran terhadap skuad negara mara ke final Piala Thomas.

Di bawah Projek 24 itu, antara perkara yang akan diberikan perhatian ialah penilaian prestasi pemain serta barisan kejurulatihan pada akhir tahun ini dan tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain sekiranya tidak mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

Sementara itu, Misbun berkata, tumpuan serta prestasi pemain mungkin terjejas bukan sahaja kerana memikirkan mereka mungkin disingkirkan tapi juga boleh terganggu kerana faktor lain seperti percaturan pemain di kejohanan yang disertai.

Menurut legenda badminton negara itu dalam usaha memburu mata ke Sukan Olimpik tahun ini, penyertaan dan percaturan pemain boleh menjadi sebab kepada prestasi yang kurang baik beberapa pemain.

“Kita tengok seperti sekarang ini, IC tidak besar sangat tapi kita dapat lihat ramai pemain China turun, yang pelapis pun turun bertanding begitu juga Indonesia, jadi boleh anggap ini adalah pertandingan yang mempunyai tarafnya sendiri, pemain yang bagus pun turun (bertanding).

“Untuk kita, memang tujuan ajukan pemain yang baharu ini… tiba-tiba mereka akan jumpa pilihan utama di pusingan pertama itu. Kita hendak masukkan mereka sebagai langkah untuk beri pendedahan dan sebagainya tapi kena berdepan pemain terbaik dan sebagainya. Macam mana kita hendak nilai terhadap pemain ini,” katanya. – Bernama

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kecik Tinggalkan Kristal?

Isu Peralihan Kuasa Tak Pernah Dibincang Bersama Tian Chua, kata Prabakaran