in

PAS Kaji Hubungan Dengan BERJASA

KUALA LUMPUR: Kini PAS mengambil keputusan untuk mengkaji semula hubungan dengan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dalam Gagasan Sejahtera. Hal ini demikian kerana,parti tersebut meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa pihaknya tidak bersetuju dengan hasrat BERJASA meletakkan calon pada PRK itu, namun parti berkenaan tetap berbuat demikian.

“Kita tidak setuju dia (Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz) bertanding. Walaupun hal ini terpulang kepada dia (untuk bertanding), namun kita tidak setuju.

“Kerjasama bersama BERJASA ini kita akan kaji semula dari masa ke masa (kerana meletakkan calon),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan status kerjasama PAS dengan BERJASA dalam Gagasan Sejahtera susulan parti itu meletakkan calon pada PRK Tanjung Piai.

Gagasan Sejahtera merupakan gabungan politik yang diwujudkan pada tahun 2016 dengan hasrat menjadi blok ketiga dalam senario politik tanah air, dianggotai PAS, BERJASA dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

PAS turut menjalin kerjasama dengan UMNO dengan menubuhkan Muafakat Nasional pada September yang lalu, manakala UMNO masih kekal bersama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, tindakan BERJASA meletakkan calon pada PRK Parlimen Tanjung Piai, bertentangan dengan PAS yang bersetuju dengan calon BN daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

 

Abdul Hadi turut menegaskan beliau mengarahkan ahli PAS di Tanjung Piai untuk memberikan undi kepada Jeck Seng, ketika turun berkempen ke kawasan itu pada Rabu ini.

Apabila ditanya mengenai pandangan Jeck Seng dimana MCA kekal dengan pendirian menolak Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), Abdul Hadi berkata, itu adalah pandangan peribadinya.

“Itu pandangan peribadi. Kita bekerjasama dengan parti bukan secara peribadi,” katanya.

Berhubung desas-desus sebahagian akar umbi PAS tidak bersetuju calon MCA diletakkan pada PRK itu, Abdul Hadi menegaskan ia tidak benar, selain memberi jaminan jentera parti akan turun bekerja.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), BN, GERAKAN, BERJASA dan dua calon Bebas.

Selain Jeck Seng dan Badrulhisham, calon lain adalah wakil GERAKAN, Wendy Subramaniam; calon PH, Karmaine Sardini serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar juga turut bertanding.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Che Ta Kecewa Dengan Sikap Penggiat Seni

Tiga Pengawal Keselamatan Direman