in

‘Saya Lagi Terkejut Najib Terkejut’

PUTRAJAYA – “Saya lagi terkejut (apabila) Najib terkejut,” berikut adalah kata yang keluar dari mulut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam reaksinya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Datuk Seri Najib Razak untuk membela diri terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut Dr Mahathir, seluruh dunia mengetahui pembabitan Najib dalam skandal tersebut.

“Perbicaraan ambil masa berbulan-bulan, itulah cara kita mentadbir kerajaan,” katanya. Menurut beliau juga, pentadbiran Pakatan Harapan berbeza daripada pentadbiran Barisan Nasional.

“Bukan seperti mereka yang menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

“Itulah cara mereka, menahan tanpa bertanya namun prosiding Najib berjalan lancar, diberi ikat jamin malah berpeluang pergi berkempen,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan yang dialami Najib kerana kerajaan berlembut dan mengikut rule of law.

“Seperti hari itu, Najib sakit mata tetapi masih boleh pergi kempen tetapi tidak boleh pula pergi ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Dr Shafee Abdullah menyatakan anak guamnya terkejut terhadap keputusan mahkamah.

Menyentuh mengenai dakwaan wujudnya campur tangan beliau dalam keputusan mahkamah itu, Dr Mahathir mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti untuk tampil mengemukakannya.

“Buktikan (campur tangan), saya tidak pernah campur tangan,” katanya.

Memberi contoh UMNO yang dipimpinnya diharamkan pada 1988, Dr Mahathir berkata, beliau mengikut segala prosedur dalam menangani isu tersebut.

“Pada masa mahkamah mengharamkan (UMNO), saya lalui dengan cara betul,” katanya.

Petang tadi, anggota Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Mahathir membabitkan kes dihadapi bekas perdana menteri itu.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tiga Bersaudara Lemas

Polis Rakam Keterangan 12 Individu