in

Semangat Juang Harimau Malaya Tinggi!

Aksi garang Harimau Malaya telah memastikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya membenam cabaran Thailand dengan kemenangan 2-1 semasa perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi.


Cheng Hoe menyatakan dia berpuas hati dan menganggap anak didiknya mempunyai semangat juang yang tinggi tanpa ada rasa untuk menyerah kalah sekali gus berjaya mengutip tiga mata penuh menjelang pertemuan dengan Indonesia Selasa depan.

“Pemain saya menunjukkan aksi yang sangat fantastik dan itu bukanlah mudah kerana kita berdepan Thailand yang mana memiliki pemain yang kuat.

“Namun begitu, kita masih berjaya atasi mereka dengan semangat juang dan enggan menyerah kalah. itu penting untuk kami mendapatkan tiga mata berharga buat pasukan. Ya, saya semestinya sangat gembira dengan keputusan ini dan ini juga akan menjadi motivasi buat kami menjelang perlawanan mendatang nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-7 menerusi Chanathip Songkrasin sebelum Brendan Gan menyamakan kedudukan pada minit ke-26. Mohamadou Sumareh menjadi wira selepas memastikan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-56.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, biarpun pasukannya ketinggalan semasa gol awal, anak didiknya tetap yakin dan bersatu hati untuk membuat yang lebih baik.

“Hasilnya, kita mendapat jaringan pertama menerusi Brendan dan seterusnya berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Ini sebahagian perjalanan kita dalam kempen kelayakan, kita ada empat lagi perlawanan dan keputusan malam ini adalah satu perkara yang positif buat kami,” katanya.

Mengulas mengenai Brendan, Cheng Hoe berkata, dia (Brendan) berjaya menunjukkan kesungguhan dan kegigihannya dalam perlawanan itu.

“Dia menunjukkan satu karakter yang perlu untuk perlawanan itu. Sebelum ini dia pernah mengalami kecederaan ACL sebanyak dua kali, bukan mudah untuk kembali semula dengan aksi terbaik. Pemain baru dan junior harus belajar sesuatu darinya,” katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga melempar pujian terhadap pemain tengahnya, Mohamed Syamer Kutty Abba kerana berjaya mengemudi bahagian tengah bagi mengekang asakan Thailand.

Tambah pula, beliau juga bersimpati dengan Muhammad Syafiq Ahmad dan Matthew Davies kerana tidak dapat bermain dalam perlawanan seterusnya selepas dilayangkan kad kuning kedua. Sebagai jurulatih, kami perlu mencari pilihan terbaik untuk berdepan Indonesia.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kemboja Larang Tunggang Gajah di Angkor

Zed Zaidi Kekal Sebagai Presiden Seniman