Seringkali terdengar ulahan surirumah tak de kerja, surirumah duduk je giyang kaki, surirumah tido je kejenya.
Ramai yang tidak faham apa yang dilalui oleh seorang suri rumah. Dari permulaan menjadi suri rumah, mereka akan kehilangan punca pendapatan sendiri, sehinggalah waktu sudah mempunyai anak yang ramai. Suri rumah ini tidak sama dengan orang bekerja. Wanita berkerjaya bekerja dengan gaji beribu, tetapi surirumah bekerja tanpa gaji sebanyak itu.
Jangan dikira penat antara dua situasi ini adalah sangat ketara jika dibandingkan. Celik sahaja mata seorang surirumah, mereka sudah mula bekerja. Malah, tengah tidur pun anak masih merengek nak menyusu bagai. Isteri suri rumah ni juga yang menyediakan semua benda yang anda terlepas pandang.
Bilik tidur siap teratur, cadar bantal semua. Baju kerja siap bergosok. Seluar dalam siap bersih. Kasut siap tersusun. Rumah siap kemas. Lauk siap masak. Dapur siap bersih. Anak siap bersih mandi dan pakai baju, yang pergi sekolah dah ke sekolah, yang di rumah sudah siap berpakaian. Semuanya siap makan dan tidak kelaparan. Baju kotor siap berbasuh dan tandas siap bercuci bersih.
Yang kita nampak itu hanya yang “siap”. Kita buta akan prosesnya. Itu sebab ramai yang masih tak berpuas hati dengan isteri suri rumah. Masih ada yang rasa tidak adil. Kerana kita tak buka mata. Semua yang dah siap itu ada orang siapkan, iaitu isteri kita. Ada beberapa kerja yang perlu dilakukan sebelum siapnya semua benda itu.
Anak yang siap makan prosesnya bermula dari menyediakan bahan mentah untuk masak lagi. Kemudian baru proses masak tu, menghidang, memberi makan, mengemas dan membasuh. Itu baru satu benda pun dah banyak prosesnya. Kalau dicampur dengan benda lain, memang tersangat sibuk. Siapa yang buat semua tu? Semunya tersedia bila suami balik dari kerja.
Jadi, tolong buang segala tanggapan negatif mengenai isteri sendiri. Jangan ada perasaan tidak puas hati apabila anda perlu bangun pagi dan isteri masih lagi tidur. Kerana apabila anda tidur tadi, dia berjaga menguruskan anak tanpa anda sedar. Dan apabila anda ke tempat kerja, dia juga bekerja di rumah, bukan hanya tidur sahaja seharian.
Akhir sekali, bayangkan anda berada di satu tempat dan sibuk buat kerja dan terperap sahaja di rumah. Boleh jadi gila tahu tak? Hati isteri itu akan mati dengan kepenatan, kebosanan dan rutin harian. Itu sebabnya penting untuk suami menjaga emosi isteri dan membawa isteri keluar dari rumah untuk menyegarkan semula fizikal dan mental mereka. Bawa isteri berjalan sekali sekala untuk terapi minda.
Mula Ubah Mentaliti Kita, Mula Cakna Akan Keperluan Serta Kesihatan Emosi Isteri. Tanya Bagaimana Keadaannya, Tanya Apa Yang Diperlukannya Dan Bukannya Mempertikaikan Apa Yang Dibuatnya Di Rumah. Kenapa? Kerana Orang Di Hadapan Kita Itu Ialah Isteri Kita Dan Bukannya Orang Suruhan Atau Orang Gaji.
Kepada para isteri yang dilayan sebegini, anda perlu berbincang dengan suami tentang apa yang anda rasa. Suami juga perlu tahu, kadang kala, mereka semuanya tidakla terlalu kejam cuma ada yang terlepas pandang walaupun bertahun-tahun lamanya terlepas itu dan ini. Jangan berdiam diri, suarakan, berbincang agar hubungan lebih baik dan positif.