KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Hong Kong jika mempunyai urusan kurang penting berikutan demonstrasi dan protes yang masih berlaku di beberapa daerah di wilayah itu.
Kementerian Luar dalam notis perjalanan yang dikeluarkan pada hari ini berkata beberapa kawasan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong mungkin terjejas disebabkan demonstrasi serta protes, dan gangguan terhadap pergerakan dan pengangkutan awam boleh berlaku tanpa notis.
“Pada masa sekarang, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan yang terjejas,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Hong Kong untuk mengelakkan daripada berada di sebarang kawasan demonstrasi dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk memastikan keselamatan diri.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa waspadaserta peka terhadap keadaan persekitaran dan terus memantau perkembangan terbaharu melalui siaran berita atau pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar juga menasihatkan rakyat Malaysia di Hong Kong untuk mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong SAR melalui e-mel.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular dan perkhidmatan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di:
Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong SAR No Tel: +852 2821 0800 / + 852-6900-6390
[WhatsApp/ eChat] selepas waktu pejabat
Faks: +852 28651628
Emel: [email protected]
Facebook: https://www.facebook.com/MALAYSIAinHongKongMacao
Twitter: https://twitter.com/MYCGHKSAR