in

Teruja Dalam Senarai ABK 2019 : Sumareh

Melihat rakan seperjuangan diraikan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) setiap tahun membuatkan pemain sayap lincah Pahang, Mohamadou Sumareh menyimpan satu misi yang sama untuk turut berada di atas pentas pada majlis berprestij itu.


Hasrat Sumareh hampir menjadi kenyataan apabila dia telah tercalon dalam kelompok tiga terbaik bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 2019 bersama dua lagi pesaing iaitu rakan sepasukannya, Nor Azam Azih dan tonggak Perak, Brendan Gan.

Sudah pasti, ia adalah satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat pemain naturalisasi negara ini apabila tercalon buat julung-julung kalinya kerana sudah lama mengimpikan untuk berada dalam acara kemuncak arena bola sepak Malaysia itu sebagai calon pemenang.

Namun, untuk dinobatkan sebagai pemenang bukannya mudah kerana ia berdasarkan prestasi semasa yang telah ditampilkan Azam dan juga Brendan yang kembali mencuri tumpuan selepas bangkit daripada kecederaan serius anterior cruciate ligament (ACL) sebanyak dua kali.

“Secara jujurnya, saya sudah cukup gembira apabila melihat rakan-rakan diraikan dalam anugerah berprestiji seperti itu selain dapat hadir mengenakan pakaian yang cukup segak dan bergaya.

“Bagi saya, suasana seperti itu cukup indah untuk dirasai dan lebih manis apabila kemenangan itu berpihak kepada kita di samping tepukan gemuruh yang diperoleh dalam satu majlis yang cukup besar itu.

“Saya belum pernah lagi merasai saat tersebut dan tercalon dalam kelompok tiga terbaik sudah cukup memberi satu kepuasan dan diharapkan rezeki akan berpihak kepada saya untuk menaiki pentas utama tahun ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, impian pemain kelahiran Gambia itu mungkin disekat Azam yang dilihat turut menampilkan prestasi cemerlang bersama skuad Tok Gajah.

“Saya tidak meletakan harapan tinggi untuk menang dan memilih Brendan untuk menang berdasarkan aksi konsistennya bersama Perak, malah saya hormati dia sebagai pemain yang kaya dengan pengalaman,” jelas Azam.

Bagi Brendan pula, dia juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk mendominasi anugerah itu meskipun mendapat pujian Azam dan disebut-sebut sebagai calon pilihan.

“Satu kepuasan buat diri sendiri apabila tercalon dalam kategori ini selepas saya terpaksa bangkit daripada masalah kecederaan sebelum ini. Saya anggap pencalonan ini juga satu kejayaan,” ujarnya.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Polis Rakam Keterangan 12 Individu

Pusaka Raih RM7.2 Juta Selepas Sebelas Hari Tayangan