in

Video Kontroversi Tak Jejaskan Peluang PH

ALOR SETAR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu percaya video kontroversi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Besar Perak tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Mukhriz juga menganggap tiada masalah dalaman yang serius membabitkan empat parti komponennya malahan perbezaan pendapat antara parti sering dibincangkan dan diselesaikan pada mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Kita tak ada pun masalah dalaman, hubungan antara parti sekarang berada ditahap baik. Tidak mungkin kita boleh tadbir negeri jika tiada kesefahaman. Peringkat nasional pun sama.

“Setiap kali mesyuarat hampir semua pimpinan tertinggi hadir dan berlangsung secara harmoni,” katanya selepas merasmikan Program ‘Eco-Schools’ peringkat Negeri Kedah di Pusat Sains Negara di Gunung Keriang hari ini.

Mukhriz yang juga ahli Majlis Presiden PH menyifatkan isu terbabit sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menggambarkan kononnya Bersatu ‘bergaduh’ dengan DAP.

“Ahmad Faizal akan keluarkan kenyataan berhubung isu ini. Beliau juga memaklumkan kenyataannya itu diambil di luar konteks. Beliau juga ada terangkan kepada kepimpinan Bersatu dan DAP, ia bukan masalah besar,” katanya mengulas gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahu Ahmad Faizal membuat penjelasan berhubung isu terbabit.

Beliau turut menyelar pihak luar yang cuba memberi gambaran perpecahan PH, sedangkan BN turut terpalit isu sama.

“Saya ingin ingatkan, hubungan antara parti dalam Barisan Nasional (BN) pun tidaklah baik sangat. Masakan Gerakan pun letak calon di pilihan raya sama yang itu orang tak perasan pula.

“Dulu ada 14 parti bawah BN. Sekarang di Sarawak pun berpecah. Kalau mahu timbulkan keretakan PH, orang yang menuduh itu patut cermin diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz menganggap dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Norden bahawa jangka hayat Bersatu bergantung kepada hayat Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad semalam adalah sekadar mahu menggugat PH.

“Kenyataan itu sekadar mahu menggugat PH dan saya anggap ia sindrom penafian UMNO yang masih terkejut akan kekalahan PRU14. Saya bagi jaminan PH bukan kerajaan sepenggal.

“Tuduhan seperti itu hanya bagi rangsangan untuk kami penuhi hasrat rakyat selain mengukuhkan lagi kesepakatan dalam PH,” katanya sebagai membidas kenyataan bahawa jangka hayat Bersatu bergantung kepada hayat Dr Mahathir kerana tiada pemimpin pelapis dan dipenuhi individu yang pandai lompat parti sahaja.

Sending
User Review
0 (0 votes)

What do you think?

Written by Fyqa

Fyqa adalah penulis senior Motif.My dan mempunyai minat mendalam dalam penulisan berita. Sebarang maklumbalas boleh hubungi Fyqa di [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Datuk Bandar Dipukul, Disimbah Cat

Guru Hamil Cedera Ditikam Suami Sendiri