Walaupun Isteri Cuma Suri Rumah, Ingatlah Mereka ‘Bekerja’ 24 Jam Tanpa Henti, Tak Bergaji

Walaupun Isteri Cuma Suri Rumah, Ingatlah Mereka ‘Bekerja’ 24 Jam Tanpa Henti, Tak Bergaji, ok?

Mungkin ramai wanita di luar sana yang mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas berumah tangga. Tindakan itu seharusnya wajar dipuji. Sebagai seorang suami, tentu anda rasa seronok dengan pengorbanan isteri yang mahu menjadi suri rumah kan?

Anak-anak akan dijaga sendiri oleh isteri, di samping itu, duit untuk hantar anak ke rumah pengasuh atau nurseri dapat dijimatkan. Malah ada juga isteri yang menghantar dan mengambil anak mereka daripada sekolah setiap hari.

Pendek kata, urusan rumah tangga ditanggung semuanya! Suami atau anak pula boleh ‘request’ apa saja masakan daripada isteri atau ibu. Pasti akan dimasak. Terus terang, pasti anda akan rasa lega kan kalau macam ni hari hari?

Isteri membuat pengorbanan itu demi untuk keharmonian rumah tangga dan juga untuk kebaikan anak anak. Bukan satu perkara yang mudah untuk seorang wanita melepaskan kerjayanya.

Pasti pertimbangan daripada pelbagai sudut telah dibuata sebelum mengambil keputusan itu. Maka, sebagai suami, anda perlulah menghargai isteri dan jangan ambil kesempatan ke atas pengorbanan isteri itu. Motif.my nak share apa yang boleh suami buat pada isteri yang berkorban masa dan tenaganya untuk jadi suri rumah.

Ini Sepatutnya Suami Buat Pada Isteri Yang Jadi Suri Rumah

Hargai Isteri Dengan Memberi Wang Saku

Apabila tidak bekerja, isteri sudah pun hilang punca pendapatannya. Hanya bergantung pada suami untuk menanggung segala perbelanjaan.

Setiap bulan anda akan memperuntukkan sejumlah wang untuk belanja rumah. Jangan lupa untuk ‘selit’kan sejumlah elaun untuk isteri anda.

Jumlah tersebut terpulang kepada kemampuan anda. Kalau mampu RM200 sebulan sekalipun, beri kan lah. Sekurang-kurangnya isteri ada juga duit untuk digunakan pada waktu kecemasan.

Isteri pasti ada keinginan untuk memiliki suatu barangan. Wang itu yang akan disimpan dan dikumpul sikit demi sikit.

Ramai suami selalu yang ‘buat-buat lupa’ tentang elaun atau nafkah kepada isteri. Isteri perlu meminta, barulah akan diberi. Itu pun dengan macam-macam bebelan perlu diharungi. Alasannya, mereka sudah sediakan semua wang perbelanjaan rumah. Tak boleh begitu ye wahai suami suami sekalian.

Belikan Isteri Hadiah Biar Gembira Hatinya

Sebagai isteri, tiada apa lagi yang lebih penting selain daripada disayangi dan juga dihargai oleh suami di atas segala pengorbanan mereka menjaga keluarga.

Apa salahnya, sesekali bila dapat gaji tu, bawalah isteri dan anak-anak makan di luar. Tidak perlulah isteri memasak pada hari itu. Itu juga masa untuk isteri berehat sekejap setelah setiap hari terkejar-kejar menguruskan anak-anak.

Bila hujung minggu, bawalah isteri dan anak-anak berjalan jalan. Tidaklah asyik terperap di dalam rumah sahaja. Pasti dia akan rasa lebih gembira.

Bila ada duit lebih pula, apa salahnya belikan hadiah untuk isteri seperti baju baru ke atau sebagainya. Walau pun mereka tidak bekerja, tetapi mereka boleh memakai pakaian cantik ketika keluar menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke pasar dan sebagainya.

Takkan anda nak biarkan isteri selekeh saja sedangkan anda mampu? Kalau isteri anda kelihatan menarik, anda juga yang bangga kan? Itu bermakna anda pandai jaga isteri anda.

Jangan EGO.. Tolong Isteri Dekat Rumah Tu

Anda juga boleh membantu isteri membuat kerja rumah seperti mencuci pinggan atau sidai kain. Tentu isteri akan rasa terharu dengan bantuan dari anda.

Ianya menunjukkan sifat timbang rasa anda pada dirinya. Walau pun penat bekerja, anda masih sanggup untuk membantunya.

Anda juga boleh membantu menjaga anak-anak jika anda lihat isteri sedang sibuk di dapur dan sebagainya. Pasti dia akan rasa sangat bersyukur memiliki suami yang sangat bertimbang rasa.

Ingat, kalau anda rasa anda sudah penat seharian bekerja di pejabat, apakah anda rasa isteri tidak penat seharian di rumah?

Malah, ramai wanita yang mengakui bahawa duduk di rumah lagi memenatkan daripada bekerja di pejabat!

Ada juga yang bersikap ego dan tidak mahu langsung untuk membantu isteri menjaga anak-anak ataupun melakukan kerja rumah ketika hari cuti dengan alasan sudah penat bekerja sepanjang minggu.

Aduhai suami, anda kena ingat satu perkara ni. Isteri bukan orang gaji ye, apa kata anda beri isteri ‘cuti’ sehari dan benarkan dia keluar bersama rakan-rakannya atau memanjakan dirinya di spa.

Anda pula ambil giliran untuk uruskan anak-anak sendirian.

Baru anda tahu, betapa ‘mudahnya’ tugas seorang isteri di rumah. Silap hari bulan, ramai yang putus asa! Pendek kata, suami kena faham, tugas sebagai suri rumah tangga bukan kerja yang mudah.

“Terima Kasih Sayang..” Isteri Suka Dengar Kata-kata Ini

Sesekali apa salahnya anda lahirkan rasa terima kasih anda terhadap isteri kerana sudi menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga dengan baik sepanjang anda keluar mencari rezeki untuk keluarga.

Pasti isteri akan rasa lebih dihargai oleh anda

Isteri Pantang Bila Suami Perlekehkan Dirinya.. Sedih Pun Iya

Ada juga suami yang menganggap peranan sebagai suri rumah itu mudah hingga mengeluarkan kata-kata yang tidak enak untuk didengar.

Kononnya suami penat keluar bekerja sedangkan tugas isteri ini mudah sahaja, hanya duduk di rumah saja jaga anak.

Hinggakan ada yang sanggup mempelekehkan isteri di depan orang lain. Janganlah begitu, anda sepatutnya sentiasa menjaga maruah isteri yang sanggup tidak bekerja demi kebaikan keluarga.

Sumber: Mingguan Wanita

Sending
User Review
0 (0 votes)

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.